Saturday, January 6, 2024

RUJUKAN

Asmah Haji Omar, 1986. "Analisis Wacana" (bahagian Kedua) dlm. Jurnal Dewan Bahasa, 24(4): 9-25. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Rashid Md Idris (2004). Analisis Wacana Cerpen Dari Perspektif Struktur dan Maklumat dan Struktur Tema. Universiti Islam Antarabangsa: Malaysia Gombak Selangor.

Mohd Rashid Md Idris (2007). Monograf Bahasa Melayu: Jilid 2. Kuala Lumpur: ACH Communications Sdn. Bhd.

Sanat Md. Nasir & Rogayah A.Razak (1998). Pengajian Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Zaliza Zubir & Rohizah Halim. (2020). Analisis Wacana Kritis : Satu Pengenalan Umur,  Journal of Communication in Scientific Inquiry , Volume 2, Ms 61 diakses daripada https://www.researchgate.net/publication/351118810_Analisis_Wacana_Kritis_Model_Fairclough

💓PROFIL KAMI💓




NURUL IZWANA BINTI MAT ALI

D20201093432

ISMP BAHASA MELAYU




MUHAMMAD KHAIRUL AZHAR BIN MANAPON

D20201093393

ISMP BAHASA MELAYU




 

NURUL AIN BINTI AZMI

D20201093417

ISMP BAHASA MELAYU

 

 

 


MUHAMMAD KHAIRUL IZWAN BIN RAMLI

D20201093235

ISMP BAHASA MELAYU



                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

 1.0  PENGENALAN

Bidang wacana merupakan satu bidang yang melibatkan penyelidikan dan tidak asing lagi dalam dunia tersebut. Sejarah wacana Bahasa Melayu di Malaysia  lebih lewat berkembang berbanding di Barat dimana ianya bermula sekitar tahun 1980-an dengan adanya penyelidikan seperti artikel, disertasi dan buku.


Wacana dikatakan merupakan unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut melibatkan ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, buku, siri buku dan sebagainya. Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Perkataan wacana adalah padanan perkataan discourse dalam bahasa Inggeris. Perkataan discourse dalam Kamus Webster, 1983 : 522 bererti hubungan fikiran dengan kata-kata, ekspresi idea-idea atau gagasan-gagasan atau percakapan. Dengan adanya wacana, satu ayat dapat digabungkan dengan ayat yang lain dengan mempunyai koherensi dan kohesi yang berkesinambungan, yang mempunyai permulaan dan pengakhiran yang nyata. Wacana ini boleh disampaikan secara lisan dan tulisan.



AHLI BAHASA

TAKRIFAN

Nik Safiah Karim (2008)

Wacana merupakan jalinan unit-unit bahasa yang tersusun rapi dan berkesinambungan bagi melahirkan kesatuan bahasa yang utuh.

Asmah Haji Omar (1986)

Wacana adalah keseluruhan kelahiran bahasa oleh penutur atau penulis, iaitu sistem bahasa dan unsur-unsur luar daripada sistem bahasa yang menyumbang ke arah menjadikan pertuturan atau tulisan berkenaan sebagai sesuatu yang bermakna dalam berkomunikasi.

Crystal (1992)

Wacana merupakan regangan bahasa yang berkesinambungan terutama dalam bahasa lisan yang lebih besar daripada ayat dan lazimnya akan membentuk satu unit yang berkesatuan seperti hujah atau cerita.

Jadual 1: Takrifan wacana menurut tokoh-tokoh bahasa

    

Analisis wacana kritis (AWK) ini bermula sejak tahun 1990-an apabila munculnya tokoh-tokoh yang mahir dalam bidang ini seperti Teun Van Dijk, Ruth Wodak dan Norman Fairclough yang telah banyak memberikan sumbangan dalam bidang analisis wacana ini melalui penyelidikan dan penulisan. Pengkaji-pengkaji ini telah merangka kerja model dan pendekatan yang berbeza serta mencipta teori-teori yang masih digunakan dalam bidang analisis wacana sehingga kini. 
            
Pendekatan wacana kritis (Fairclough, 1995) merupakan hubungan antara amalan sosiobudaya dengan suatu teks itu. Elemen ini merupakan perantara amalan wacana. Dalam hal ini, analisis wacana kritis memberikan perhatian terhadap cara suatu teks dihasilkan atau ditafsirkan. Pengkaji telah menggunakan Model Fairclough telah menghasilkan teori sosial bahasa yang menggabungkan metode analisis wacana berorientasikan linguistik dengan pemikiran sosial dan politik apabila terbitnya buku beliau Language and Power pada tahun 1989. Namun, pada mulanya kerangka teori itu dikenali sebagai critical language study (kajian bahasa kritis). Teori ini diperkemas lagi dalam bukunya Discourse and Social Chane (1992) dan kerangka teori tersebut kemudiannya dinamakan Critical Discourse (analisis wacana kritis) (Idris Aman, 2006:100).


Rajah 1: Pendekatan Analisis Wacana 3 Dimensi Fairclough


2.0 LATAR BELAKANG

Analisis wacana kritis (AWK) bukanlah perkara asing dalam analisis wacana kerana ia sangat terkenal dalam kalangan pengkaji. Menurut Weiss dan Wodak dalam Zaliza Zubir dan Rohizah Halim (2020), AWK telah bermula dalam kajian bidang retorik klasik, linguistik teks, sosiolinguistik, linguistik terapan dan pragmatik. AWK telah dibangunkan oleh beberapa orang ahli teori sosial, misalnya Foucault dan ahli bahasa sosial seperti Pecheux. AWK dikatakan bermula sejak tahun 1990-an yang telah melahirkan tokoh-tokoh berpengaruh dalam bidang ini seperti Teun Van Dijk, Ruth Wodak dan Norman Fairclough. Beberapa orang tokoh ini telah memberikan banyak sumbangan dalam bidang AWK menerusi penyelidikan dan penulisan.

Secara umumnya, pengkaji-pengkaji dalam bidang AWK mempunyai pendekatan dan kerangka kerja model yang berbeza antara satu sama lain. Perbezaan yang ketara antara pengkaji berkenaan adalah dari segi teori dan cara menganalisis wacana. Contohnya, pendekatan wacana kritis (Fairclough, 1995) merupakan pendekatan yang memberi tumpuan kepada hubungan antara amalan sosiobudaya dengan sesuatu teks. Pendekatan ini sebenarnya memberikan perhatian terhadap sesuatu teks yang dihasilkan atau ditafsirkan. Penggunaan teori dalam analisis amat signifikan untuk menentukan hala tuju sesebuah kajian. Dalam tugasan ini, pengkaji menggunakan AWK model Fairclough yang menumpukan kepada analisis kandungan wacana dari segi penyebaran dan penggunaan serta implikasi sosial.

Genre komik merupakan salah satu genre yang paling terkenal. Kini, perubahan zaman banyak mengubah bentuk persembahan yang diketengahkan dalam komik. Secara umumnya, komik ialah bahan yang berbentuk gambar-gambar dan lambang-lambang tertentu mengikut urutan penceritaan. Lazimnya, penggunaan komik adalah untuk memberikan informasi atau memberikan pembaca tanggapan yang estetik dan berimaginasi. Komik juga disebut sebagai sastera gambar yang memaparkan bentuk komunikasi visual. Komik bukan sahaja digunakan untuk menyampaikan informasi, malah lebih mudah difahami oleh pembaca, memandangkan wujudnya gambar yang berkaitan dengan bahan bacaan. Hal ini bermaksud, dalam komik, gabungan antara gambar dan teks ialah asas penting untuk membentuk penceritaan yang menarik.

Pembaca komik secara puratanya adalah individu yang berumur 15 hingga 25 tahun. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa adanya pencinta komik dalam kalangan individu 40-an. Kini, komik dikatakan memiliki banyak kegunaan kepada manusia, misalnya untuk tujuan perniagaan, pembelajaran, melestarikan budaya tempatan dan sebagai media. Secara amnya, tema dalam sesebuah komik memenuhi ruang lingkup kehidupan manusia. Pada zaman yang semakin canggih, komik telah menunjukkan perubahan kerana kini sudah wujud komik berbentuk digital untuk memudahkan pembaca mengaksesnya. Contohnya berbentuk aksi, komedi, pengembaraan, dan misteri.

Dalam tugasan ini, komik yang dipilih bertajuk Takaza. Komik Takaza ini dilukis oleh Sitrahaslee dan diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. Komik ini diterbitkan pada 20 Ogos 2009. Komik ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang bernama Syah yang merupakan seorang kongsi gelap yang ditabalkan sebagai seorang kongsi gelap lagenda yang ingin berubah kerana mahu menunaikan wasiat terakhir abangnya yang juga seorang kongsi gelap lagenda. Kongsi gelap lagenda merupakan 7 orang yang amat di segani oleh semua kumpulan kongsi gelap kerana kehebatan mereka melepasi "pelepasan maut". Perubahan Syah yang merupakan salah seorang kongsi gelap lagenda itu menyebabkan seluruh kongsi gelap tertanya-tanya. Polis yang mengetahui perubhan Syah akhirnya ingin meminta pertolongan Syah dalam menyelesaikan perberontakan kumpulan kongsi gelap yang semakin berleluasa yang polis sendiri tidak dapat menyelesaikannya melainkan dengan kekuatan Syah yang merupakan kongsi gelap lagenda.


3.0  PENERANGAN AMALAN WACANA KRITIS

Analisis Wacana Kritis (AWK) merupakan satu pendekatan yang boleh digunakan dalam menganalisis fenomena sosial yang berlaku di dunia ini. AWK ini umumnya digunakan untuk menganalisis teks media tetapi juga dapat dilakukan untuk menganalisis video iklan. Analisis wacana kritis ini memerlukan sebuah pendekatan yang mempunyai pelbagai kaedah untuk mendapatkan sesuatu hasil. Van Djik (2003) menyatakan bahawa Analisis Wacana Kritis ini merupakan cadangan kajian yang memberi fokus kepada bagaimana penyalahgunaan kuasa, dominasi dan ketidaksetaraan berlaku dalam konteks sosial dan juga politik. Namun begitu menurut Renkema (2:1) mendefinisikan sebagai satu disiplin ilmu yang mempelajari hubungan antara bentuk dan fungsi dalam bentuk komunikasi verbal iaitu (baik lisan mahupun tulisan). Hal ini dapat menunjukkan bahawa adanya hubungan antara wacana dan perkembangan sosial dan budaya secara serentak. Menurut Fairclough (1989:22), menyebut pemahamannya tentang bahasa dengan istilah discourse atau wacana. Konsep wacana menurut beliau adalah “praktik sosial” yang memiliki 3 implikasi iaitu sebahagian dari masyarakat, proses sosial dan berproses dan berkembang.

Melalui pendekatan Fairclough (1995) ini, ianya menjelaskan bahawa tujuan Analisis Wacana Kritis dilakukan secara sistematik, meneroka hubungan dengan hubungan , amalan diskursif, peristiwa dan teks, serta menentukan struktur sosial dan budaya dengan lebih meluas, hubungan dan proses penghasilan teks tersebut. Selain itu, Fairclough (1995:23) memandang AWK ini sebagai penyatuan analisis teks, analisis proses produksi, distribusi dan konsumsi teks serta analisis sosiokultural dari praktik diskursif. Penggunaan AWK dalam kajian kami ini adalah untuk memperlihatkan konteks sosial kepada masyarakat. Melalui pendekatan wacana kritis dari Fairclough (1995) ini, adanya hubungan antara amalan sosiobudaya dengan suatu teks itu. Elemen tersebut menjadi satu perantara amalan wacana, AWK ini memberi perhatian terhadap cara suatu teks ini dihasilkan atau ditafsirkan. Hubungan teks dengan amalan sosiobudaya hadir melalui perantaraan amalan wacana. Dalam menghuraikan dan menjelaskan aspek proses berlakunya sosial yang tertanam dalam wacana, adanya beberapa penggunaan konsep wacana seperti wacana tiga dimensi dan menghubungkaitkan dengan kaedah analisis wacana secara bersama. Tiga dimensi yang digunakan tersebut adalah :

 (i) teks dan wacana, secara lisan atau tulisan,

(ii) amalan wacana menjurus kepada aspek penghasilan teks dan penginterpretasian            teks,

(iii) amalan sosiobudaya (Fairclough, 1995).


4.0 PENYEBARAN DAN PENGGUNAAN DALAM ANALISIS WACANA KRITIS BERDASARKAN MODEL FAIRCLOUGH

4.1 PENYEBARAN WACANA DALAM KOMIK TAKAZA

Analisis penyebaran wacana adalah usaha mentafsir cara wacana disebar-luaskan dan siapa sasarannya. Pada era multimedia dan teknologi canggih kini, wacana seseorang atau institusi boleh disebar meluas dengan pelbagai cara dan lebih berkesan serta kepada lebih banyak khalayak. Maknanya, kini soal kesampaian wacana kepada sasaran bukan soal getir lagi.

Pengkaji telah memilih komik yang menceritakan mengenai keagamaan yang bertajuk “Takaza”. Komik ini dianalisis menggunakan wacana. Berdasarkan komik tersebut, terdapat unsur dimensi amalan wacana iaitu penyebaran. Komik ini mempunyai fokus utama iaitu menyebarkan kepada masyarakat tentang agama dan amalan tanggungjawab terhadap keluarga walau dalam apa jua situasi. Oleh itu, komik ini bertepatan dengan Model Fairclough kerana ianya disebarkan kepada khalayak umum. 

Komik bukan fiksyen yang bertajuk “Takaza” mengisahkan seorang lagenda kongsi gelap yang mempunyai latar belakang keluarga yang menyedihkan. Namun, Reo yang merupakan lagenda kongsi gelap ingin bertaubat dan Kembali kepada landasan agama yang sebenar. Komik ini menarik perhatian pembaca dengan memasukkan unsur keagamaan dan amat memberi kesan yang mendalam dalam hati pembaca. Penyampaiannya juga jelas dan menghiburkan. Ia memperlihatkan perubahan diri seorang ahli kongsi gelap yang bersungguh-sungguh ingin berubah menjadi manusia yang berguna dan berubah dari dosa atau kesilapan lampau. Selain itu, dalam komik ini juga menjelaskan mengenai pengorbanan dalam keluarga untuk meneruskan kehidupan. Contohnya, berusaha mencari makanan untuk adik beradik yang sedang kelaparan dan berhadapan dengan hidup dan mati kerana tidak mempunyai makanan walau sedikit pun. Contoh maklumat dan info yang disebarkan oleh komik tersebut kepada khalayak umum boleh dilihat dalam petikan ayat di bawah:

Contoh 1:

A.38

Abang tidak akan mengalah, abang akan buat kamu berdua bahagia.

A.49

Jadi, aku akan tunjukkan kau "kehidupan" yang dapat buat kau tersenyum.

A.51

Aku mahu jadi lebih kuat, aku mahu ubah nasib aku dan adik aku!


Contoh 2:

A.26

Sekiranya seseorang itu melakukan kesilapan... dia hanya perlu berubah

A.82

Tetapi manusia yang berubah daripada kegelapan kepada cahaya lebih menguntungkan ramai orang... kerana kebaikan yang ada pada dirinya.

A.85

Sebagai muslim kita jangan salahkan orang lain. Jangan suka buat orang marah. Ingat, kita muliakan muslim yang lain juga.

Berdasarkan contoh 1 dan 2 di atas, pengisian komik tersebut telah menunjukkan contoh penggunaan ayat atau wacana dalam bentuk dialog. Hal ini dikatakan demikian kerana, komik tersebut memberikan maklumat dan info kepada pembaca. Ayat dialog dalam contoh 1 di atas memperlihatkan pengorbanan seorang abang untuk membantu keluarga kecilnya dalam kesusahan. Reo telah berlari-lari, menjerit dan meminta tolong untuk mendapatkan bekalan makanan setelah melihat adiknya yang semakin tidak berupaya dan kehabisan tenaga. Seterusnya, petikan teks dalam contoh 2 pula menjelaskan perbualan Fadhlan dengan Reo. Fadhlan merupakan seorang ustaz dan Reo ialah ahli kongsi gelap, Fadhlan berusaha untuk memberi kesedaran kepada Reo dengan mengatakan seperti dalam ayat 26, 82 dan ayat 85. Di sini, pengkaji memahami dengan jelas maksud yang disampaikan berdasarkan komik ini iaitu kita tidak boleh memandang rendah dan berburuk sangka terhadap orang lain kerana manusia mampu berubah pada bila-bila masa apabila tiba waktunya.

Selain itu, dari segi penggunaan warna latar, konsep dan watak-watak yang tak mengira usia turut diperlihatkan. Watak-watak terdiri daripada usia yang berbeza seperti dewasa, remaja, bayi. Watak-watak ini juga mempunyai karakter yang tersendiri dan berbeza, seperti karakter jahat, baik, dan lemah iman. Watak-watak ini menggunakan bahasa ibunda yang mudah difahami oleh pembaca. Ada juga unsur yang menunjukkan beberapa intonasi seperti marah, kecewa, sedih dan sebagainya yang mampu mempengaruhi emosi pembaca. Tambahan pula, penggunaan jenis “font” yang sesuai dapat memudahkan pembaca untuk membaca dan memahami kandungan komik tersebut. Jelaslah bahawa, warna latar, konsep, bahasa, dan jenis font mempengaruhi minat khalayak supaya tertarik untuk membaca komik ini.


4.2 PENGGUNAAN WACANA DALAM KOMIK TAKAZA

Pengkaji telah memilih komik “Takaza” karya Sitrahaslee sebagai bahan untuk dianalisis dari segi penggunaan dalam konteks Model Norman Fairclough mengikut dimensi amalan sosial. Menurut Fairclough, analisis wacana kritisnya itu sebaik-baiknya merupakan satu usaha yang merentas aspek disiplin. Oleh itu, dalam bahagian ini hubungkait antara antara teks dengan masyarakat pengguna teks dilakukan bagi mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan sesuatu wacana ini digunakan dalam masyarakat. Menurut Idris Aman (2023), wacana dihasilkan atas sebab atau tujuan tertentu. Beliau berkata lagi, analisis penggunaan wacana dalam soal amalan kewacanaan adalah usaha interpretasi secara umum akan gunanya wacana berkenaan kepada khalayak atau addressee, kepada wacana sendiri, animator, dan lingkaran kegunaan di kalangan mereka, serta hearer dan overhearer jika ada.

Hal ini dapat dilihat melalui lingkaran yang ditujukan kepada masyarakat bahawa pentingnya tanggungjawab dalam keluarga. Tanggungjawab ialah peranan yang harus dilakukan oleh setiap individu terhadap keluarganya untuk memastikan maruah keluarga terjaga. Selain itu, penggunaan wacana dalam aspek penggunaan dapat dilihat dalam komik “Takaza” semasa pewacana menggunakan wacana untuk menerangkan seorang lelaki yang bernama Syah seorang kongsi gelap yang di tabalkan sebagai seorang kongsi gelap lagenda yang ingin berubah kerana mahu menunaikan wasiat terakhir abangnya yang juga seorang kongsi gelap lagenda. Perubahan Syah yang merupakan salah seorang kongsi gelap lagenda itu menyebabkan seluruh kongsi gelap tertanya-tanya dan ingin meminta pertolongan Syah dalam menyelesaikan pemberontakan kumpulan kongsi gelap yang semakin berleluasa.

Tambahan pula, interdiskursiviti boleh meneliti orang yang menghasilkan wacana, orang di belakangnya dan tujuannya. Terdapat beberapa jenis wacana yang terkandung dalam interdiskutiviti ini seperti wacana jenis laporan, penerangan, hujahan dan ekspresi. Namun, dalam analisis komik “Takaza” ini, hanya beberapa jenis wacana sahaja yang sesuai dipraktikkan sebagai amalan wacana yang bersesuaian dengan isi kandungan atau idea yang disampaikan melalui komik ini untuk dipertontonkan kepada masyarakat. Hal ini dapat dilihat melalui contoh ayat di bawah yang diambil melalui perbualan watak dalam komik tersebut:

A.89

Aku mesti selamatkan adik-beradik aku!

A.90

Abang akan bawakan makanan!

A.91

Abang tidak akan mengalah, abang akan buat kamu berdua bahagia.

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa A.91 yang diambil melalui perbualan watak-watak dalam komik tersebut yang memaparkan penggunaan wacana jenis penerangan. Wacana ini merupakan satu pemerihalan atau pendedahan kepada sesuatu maklumat secara terperinci dan lebih mendalam. A.91 menunjukkan bahawa watak Reo memberi penerangan atau pemberitahuan kepada adik-beradiknya iaitu Syah dan adik bongsunya bahawa dia tidak akan mudah mengalah dan mencuba sehabis mungkin asalkan mereka bahagia dan tidak berasa susah. Manakala A.89 memaparkan penggunaan wacana ekspresi. Wacana jenis ekspresi ini merupakan wacana yang mempunyai perkaitan dengan aspek perluasan hasrat dan juga idea-idea. Hal ini bermaksud wacana ini lebih menonjolkan idea atau hasrat dalam menyampaikan jalan cerita komik ini sehingga menunjukkan aspek-aspek ekspresi setiap perbualan watak. Melalui contoh ini, Reo berasa bertanggungjawab terhadap hal keluarganya kerana dia menjaga adik-beradiknya dengan baik walaupun terpaksa mengorbankan nyawanya. Melalui intonasi yang tinggi melalui watak Reo tersebut supaya penonton dapat memahami dan merasakan ekspresi yang ditunjukkan.


5.0 PERBINCANGAN IMPLIKASI SOSIAL ANALISIS WACANA KRITIS

Menurut Zaliza Zubir & Rohizah Halim (2020), analisis wacana kritis dicirikan sebagai campuran disiplin dan bukan disiplin dalam menjalankan kajian. Menurut Van Dijk (2009) dalam kajian Zaliza Zubir et al. (2020), menegaskan bahawa analisis wacana kritis merupakan gabungan teori dan aplikasi kritis dan menghasilkan kajian wacana kritis.Wodak & Meyer (2009) juga turut menegaskan bahawa analisis wacana kritis mempunyai beberapa matlamat iaitu AWK dianggap sebagai penyelidikan sosial kerana kajian kritisnya berkaitan dengan masalah sosial dan pemahaman tentang hak asasi manusia, ketidaksamaan sosial, penyalahgunaan kuasa dalam domain seperti perkauman, kelas sosial, jantina dan sebagainya. Selain itu, analisis wacana kritis juga dikatakan berminat dengan isu-isu penindasan dan penguasaan kelompok tertentu kepada kelompok atau orang yang menjadi sasaran ketidakadilan. Jelaslah menunjukkan bahawa analisis wacana kritis berfungsi sebagai satu kaedah analisis dalam mengungkap ideologi tersembunyi dan meneliti keberadaan kekuasaan dalam penyelidikan wacana. Oleh itu, kajian yang dilakukan ini menggunakan teori wacana sosial yang digagaskan oleh Norman Fairclough untuk digunakan dalam kajian analisis wacana kritis untuk memperlihatkan ideologi yang tersembunyi melalui tiga iklan hari raya yang dikaji. 


5.1 MANUSIA MASIH ADA PELUANG UNTUK BERUBAH

Berdasarkan wacana yang dikaji iaitu komik yang bertajuk Takaza mendapati bahawa setiap manusia mempunyai masa dan peluang untuk berubah kepada ke arah kebaikan. Walaupun seseorang itu melakukan kejahatan atau keburukan pada diri sendiri atau orang lain, mereka berhak diberi peluang untuk mereka berubah menjadi orang yang baik. Contoh yang dapat dilihat daripada komik Takaza, watak utama iaitu Reo dan Syah adalah seorang bekas kongsi gelap yang paling dikehendaki oleh polis dan geng samseng yang lain. Mereka sering melakukan kejahatan seperti membunuh, bergaduh antara geng samseng lain untuk merampas tempat. Walaupun mereka melakukan kejahatan yang banyak, tetapi mereka masih mempunyai peluang dan mahu berubah ke arah kebaikan. Reo sebelum meninggal sempat bertaubat dan meninggalkan dunia kongsi gelap serta tidak akan sesekali kembali kepada dunia gelap tersebut. Sepanjang perjalanan Reo ingin bertaubat, dia menghadapi pelbagai ujian dan cabaran seperti dikejar oleh samseng lain supaya Reo dibunuh. Reo akhirnya dibunuh oleh Johnny iaitu ketua kongsi gelap Reo. Reo sempat meninggalkan dunia gelap tersebut dan bertaubat kepada Allah serta mengenal Tuhan dengan lebih mendalam. Syah adalah adik kepada Reo juga meninggalkan dunia kongsi gelap dan menuju kepada keagamaan. Syah meneruskan kehidupan dengan melakukan kebaikan seperti pergi ke surau, berkawan dengan orang-orang baik. Oleh itu, dapat dilihat bahawa setiap manusia berhak diberi peluang kedua untuk berubah dan kita tidak seharusnya memandang serong kepada manusia yang melakukan kejahatan.


5.2 JANGAN MUDAH TERPEDAYA DAN TERTIPU DENGAN ORANG LAIN

Berdasarkan komik yang dikaji, pengkaji telah mendapati bahawa kita jangan mudah terpedaya dan tertipu dengan orang lain. Melalui komik yang dikaji, watak Ayu yang telah tertipu dengan kekasihnya sendiri sehinggakan dia sanggup mengadaikan tubuhnya untuk kekasihnya. Kesannya sangat membahayakan dan memudaratkan diri sendiri. Contohnya, Ayu telah membuat keputusan yang salah dengan membunuh diri sendiri dengan cara menerjun bangunan akibat telah ditipu oleh kekasihnya sendiri. Berdasarkan komik ini kita dapat mengambil pengajaran bahawa kita haruslah berhati-hati dan tidak mudah untuk percaya dengan orang sekeliling walaupun orang yang kita kenali. Selain itu juga, kita janganlah membuat tindakan yang diluar kawalan seperti yang dilakukan oleh Ayu menerjun bangunan. Walaupun masalah yang dihadapi sangat sukar tetapi kita mestilah berpegang kepada agama dan tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Jelaslah bahawa, komik ini memberi kesan sosial kepada masyarakat supaya berhati-hati dan berjaga-jaga dengan orang yang rapat dan kenalan kita. 


5.3 BIJAK DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN

Berdasarkan komik yang dikaji, pengkaji telah mendapati bahawa kita perlulah bijak dalam membuat dan mengambil keputusan dalam sesuatu perkara. Melalui komik yang digunakan watak Reo menunjukkan dia telah membuat keputusan yang kurang baik dalam hidupnya. Ini kerana Reo telah memilih jalan untuk masuk ke dunia kongsi gelap. Jalan yang dipilih itu membuatkan hidupnya tidak tenang dan selalu menimbulkan pergaduhan sehinggakan menyebabkan kematian antara satu sama lain. Keputusan yang Reo lakukan kerana dia terdesak dan harus teruskan kehidupannya untuk menyara adik-adiknya. Oleh itu, melalui kisah ini, dapat disimpulkan bahawa walapun kita susah dan terdesak sekali pun janganlah kita memilih keputusan yang salah sehinggan menyebabkan kesusahan kepada diri sendiri. Keputusan yang dibuat mestilah bijak dan mengikut akal fikiran. Janganlah kita mengikut hawa nafsu kerana akan menyebabkan masalah pada diri sendiri. Secara jelasnya, daripada komik ini kita dapat belajar bahawa kita mestilah bijak dalam membuat keputusan dan janganlah terburu-buru supaya keputusan yang kita ambil tidak membawa padah kepada diri sendiri. 


6.0  KESIMPULAN

Kesimpulannya, wacana merupakan bidang yang tertinggi dalam tingkat tatabahasa, melebihi batas ayat. Wacana lazimnya bukan sahaja dikaitkan dengan ujaran lisan antara penutur dengan pendengar, malah melibatkan tulisan, iaitu hubungan penulis dengan pembaca. Hal ini bermaksud, setiap interaksi yang dijalinkan secara dua hala secara langsung dikaitkan dengan wacana. Wacana juga merupakan sebuah bidang kajian yang sangat popular, terutama di negara barat sehingga lahirnya tokoh dalam bidang wacana seperti Teun Van Dijk, Ruth Wodak dan Norman Fairclough. Kajian wacana ini juga dikatakan sangat kompleks, memandangkan ia banyak berkait dengan beberapa bidang bahasa lain, baik mikro mahupun makro.

Pendekatan atau model yang diperkenalkan dalam wacana sebenarnya menjadi hala tuju dan panduan kepada pengkaji untuk melaksanakan kajian. Tidak dinafikan, pendekatan dalam wacana mempunyai perbezaan antara satu sama lain disebabkan motifnya yang berbeza. Dalam wacana, penggunaan teori amat signifikan untuk mengenal pasti unsur yang terkandung dalam sesebuah genre, misalnya genre komik. Penggunaan model Fairclough dalam kajian ini sememangnya amat memudahkan pengkaji untuk mengaitkan genre yang dipilih dengan aspek sosial dalam komik Takaza. Diharapkan kajian yang dilakukan ini dapat memberikan panduan dan manfaat kepada pembaca serta pengkaji yang seterusnya. 


KONSEP DAN CIRI WACANA


KONSEP WACANA

Perkataan wacana berasal daripada kosa kata Jawa, iaitu wocono. Wocono merupakan perkataan daripada woco yang bermaksud baca. Terdapat juga pendapat yang mengatakan wacana daripada perkataan bahasa Inggeris, iaitu discourse  yang berasal daripada bahasa Latin, iaitu discurus yang bermakna ‘larian ke dan lari’ (dari satu ke satu klimaks seperti plot cerita).


Umumnya, konsep wacana melibatkan dua aspek penting iaitu proses dan kognitif. Proses wacana ini melibatkan kognitif, iaitu akal fikiran kita semasa menghasilkan sesuatu wacana. Hasil yang diperoleh melalui proses wacana tadi boleh dilihat dalam bahan yang boleh dibaca atau didengari. Tatatingkat unit tatabahasa Melayu boleh dilihat seperti di bawah:




CIRI WACANA

Terdapat pelbagai pendapat tokoh yang menyatakan ciri-ciri wacana. Menurut Nik Safiah Karim (2008), dalam Tatabahasa Dewan membahagikan ciri wacana kepada iaitu runtutan dan tautan. Manakala Mohd Rashid Md. Idris (2004) telah membahagikan ciri wacana kepada koheren, kohesi, tujuan, maklumat, diterima, hubungan, andaian dan inferen, gaya dan maklumat tidak berlawanan. Asmah Hj. Omar pula dalam satu artikel pula menyatakan bahawa ciri wacana adalah satuan bahasa terlengkap, mengatasi ayat atau klausa, teratur atau tersusun rapi kesinambungan. kohesi lisan atau tulisan awal dan akhir yang nyata. Jelasnya, ciri - ciri wacana boleh dikatakan terdapat tujuh ciri - ciri secara umum iaitu runtutan, tautan, keadaan, interteks, struktur maklumat, tujuan dan penerimaan. 

LAMAN UTAMA

SELAMAT DATANG KE LAMAN ILMU KAMI!

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat anda yang sudi singgah di laman kami.



Blog ini  akan kami muatkan ilmu wacana bahasa Melayu untuk perkongsian kita bersama. Dengan adanya pengisian ilmu dalam blog ini, diharap dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuan bahasa Melayu kita. Ingat, bahasa Melayu itu indah seindah bangsanya💓

Kami telah mendapat bimbingan penuh oleh pensyarah yang berpengalaman dalam bidangbahasa iaitu Profesor Madya Dr. Hj. Mohd Rashid Bin Hj. Md. Idris. Terima kasih diucapkan kepada pensyarah kami yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan tidak lokek dengan ilmu yang dimiliki.




Akhir kata, semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua. Selamat maju jaya!



RUJUKAN

Asmah Haji Omar, 1986. "Analisis Wacana" (bahagian Kedua) dlm. Jurnal Dewan Bahasa, 24(4): 9-25. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pu...